
“Tak Jual Badan, Hanya Jual Aksi” – Hairul Komen Babak Tidak Berbaju
Pelakon Hairul Azreen mengatakan dia bukan sengaja mahu menayangkan tubuh badannya menerusi salah satu babak dalam filem aksi terbaharu lakonanannya, Wira.
Menurut suami kepada Hanis Zalikha ini, dia melakukan babak tersebut kerana memenuhi tuntutan watak semata-mata dan tidak perkara itu sebagai satu isu yang perlu diperbesar-besarkan.
“Maaf, saya tidak menjual tubuh sasa sebaliknya saya hanya menjual babak aksi untuk menarik penonton ke pawagam. Babak tidak berbaju itu untuk menjayakan adegan pertarungan dalam seni mempertahankan diri campuran (MMA) yang dipaparkan dalam filem itu.
“Saya hanya mengikut arahan pengarah kerana babak tidak berbaju itu adalah untuk memantapkan lagi jalan cerita filem ini,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pratonton Wira yang berlangsung di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur semalam.
Bercerita lebih lanjut mengenai filem itu, Hairul berkongsikan keterujaannya apabila dapat berada dalam satu filem dengan pelakon aksi lasak Indonesia, Yayan Ruhian yang sebelum ini pernah berlakon dalam filem Hollywood, John Wick.
“Walaupun sudah berlakon filem antarabangsa, namun saya tengok Yayan seorang yang sangat merendah diri dan cukup senang bekerja dengan dia. Walaupun dia lebih banyak pengalaman dalam bidang aksi lasak tapi kalau kita beri pendapat dan idea untuk menambah baik sesuatu babak pertarungan itu, dia tidak menolak.
“Memang cukup teruja dapat bertarung dengan Yayan dan sememangnya filem Wira ini merupakan antara filem aksi yang paling saya impi-impikan sejak saya menceburi bidang seni. Diharapkan filem ini dapat memberikan kepuasan buat semua peminat filem aksi,” katanya lagi.
Wira yang diarahkan Adrian Teh bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 21 November ini. Ia turut dibintangi Fify Azmi, Dain Said, Datuk Hilal Azman, Josiah Hogan, Isme Melinda, Henley Hii dan Yayan Ruhian.
Filem ini membabitkan kerjasama lima syarikat iaitu Multimedia Entertainment, ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas, Astro Shaw dan Primeworks Studios. – KopiPlanet.com