
Tak Pernah Tambah Nasi Rahsia Awet Muda
Jika kebanyakan pelakon lelaki seusianya sering kali diberikan watak-watak tempelan namun hal ini berlainan sekali buat pelakon Faizal Hussein.
Di kala usianya sudah mencecah 50 tahun, Faizal masih lagi beri kepercayaan untuk mendukung watak utama dalam sesebuah filem mahupun drama.
Terbaharu Faizal muncul dalam filem KL Wangan yang mana keseluruhan babak menuntutnya beraksi lasak dalam perlumbaan kereta.
Ketika ditanya bagaimana dia mempunyai stamina yang cukup tinggi, Faizal mendedahkan dia sudah lama mengamalkan tabiat tidak pernah menambah nasi sebanyak dua kali dalam setiap hidangan yang diambilnya.
“Orang kata saya nampak muda. Ia dari segi tubuh badan sebenarnya.
“Saya jaga makan supaya tak overweight. Seumur hidup saya tak pernah makan nasi tambah dua pinggan. Itu rutin setiap hari dari dulu lagi.
“Saya jaga makan supaya badan ringan agar senang buat filem aksi, senang nak berlawan, berlompat dan berlari,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem KL Wangan di GSC Pavilion semalam.
Selain daripada menjaga pemakanan, satu lagi rahsia awet muda bapa anak dua ini ialah dengan melibatkan diri menerusi hobi-hobi lasak kegemarannya seperti bermain paintball dan menunggang motosikal berkuasa tinggi.
“Umur 50 cuma nombor dalam IC sahaja. Yang penting tahap kesihatan seseorang itu.
“Apa yang saya boleh cakapkan, saya sampai hari ini masih boleh buat lagi semua aksi-aksi lasak ketika saya berusia 18 tahun dulu,” katanya.
Selain Faizal, KL Wangan turut dibintangi Pekin Ibrahim, Kazuto Soon, Emily Lim, Jasmine Soraya dan pelakon Indonesia, Donny Alamsyah dan Godfred Orindeod.
Ia bakal ditayangkan bermula 21 Disember ini. – KopiPlanet.com