
“Tak Suka Ikut Trend, Suka Buat Lagu Berdurasi Pendek” – Zee Avi
Penyanyi tempatan bertaraf antarabangsa, Zee Avi atau Izyan Alirahman, 34, berkata dia mempunyai kecenderungan untuk mencipta lagu berdurasi pendek kerana itu merupakan identiti dirinya dalam bidang muzik.
Menurut Zee, seperti lagu Kantoi yang hanya mempunyai durasi selama satu minit lebih, dia akan berhenti menulis lagu sekiranya merasakan sesuatu lagu itu sudah cukup indah untuk diperdengarkan.
“Saya sendiri tidak tahu kenapa sering cipta lagu pendek-pendek. Selalunya semasa mengarang lagu, kalau saya rasa semua unsur-unsur penceritaan itu dah cukup, saya memang akan tamatkannya di situ. Lagi satu saya memang tidak suka mengikut trend buat lagu panjang-panjang, mungkin ia boleh jadi satu identiti yang unik tentang diri saya sebagai penyanyi.
“Sebelum ini pun semasa Adibah Noor pernah bergelar penyampai radio, dia beritahu saya semasa jadi deejay dahulu, memang dia suka pasang lagu Kantoi kerana durasinya yang pendek. Saya anggap itu adalah sebagai satu pujian buat karya saya,” katanya kepada KopiPlanet.com
Zee Avi ditemui pada majlis sidang media pelancaran konsert International Women’s Day with Zee Avi dan NJWA yang diadakan di ibu kota, semalam.
Konsert itu bakal diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 22 Mac ini, jam 8.45 malam.
Selain itu, ketika ditanya tentang kisah peribadinya, Zee mengakui masih solo dan sempat berkongsikan ciri-ciri jejaka yang menjadi dambaannya.
“Dalam mencari teman hidup saya mahu cari orang yang sekepala dengan saya, boleh terima kebaikan dan kekurangan diri saya seadanya.
“Itu sudah memadai selain dia perlu menyukai masakan orang Melayu sebabnya saya cukup menggemari ulam,” katanya disulami tawa.
Selepas ini, Zee bakal melancarkan dua buah single baharu, lagu Melayu berjudul Saya, Kamu dan lagu Inggeris, Who Am I dalam masa terdekat. – KopiPlanet.com