Cerita ArtisHiburan

Tampil Dengan Versi Demo Lagu Saranghae, Meer Nash Anggap Ia Istimewa & Ada Nilai Sentimental

Biarpun pernah melancarkan lagu Saranghae yang mengetengahkan muzik dan elemen K-Pop pada Jun lalu, penyanyi Meer Nash nekad tampil dengan lagu sama tetapi versi ‘demo’. Niat penyanyi yang diberi gelaran Oppa Malay itu turut disokong penuh, Universal Music Malaysia.

Tambahan pula versi berkenaan menjadi percubaan sulung Meer atau nama penuhnya, Muhamad Shahmeer Mohd Nashrul menunjuk skil menulis lagu buat julung kali. Maka karya ciptaan Meer bersama Rafiq Zahri itu akan dilancarkan pada 10 September di platform YouTube dan boleh distrim platform digital popular.

“Bagi saya lagu ini ada ‘roh’ yang sama, cuma berbeza jiwa. Saya tulis lagu ini pada 20 Ogos 2020, hari sama juga saya rakam versi ‘demo’ di Soundfuse Studio. Ia sangat istimewa dan ada nilai sentimental. Liriknya saya tulis bersama Bella Iris.

“Saya fikir kenapa tidak dilancarkan juga versi ‘demo’ ini. Setidak-tidaknya boleh saya kongsi perjalanan dan momen menulis lagu ini dengan peminat. Mana tahu, perkongsian sebegini boleh memberi inspirasi kepada penulis lagu atau artis,” jelasnya.

Biarpun menganggap dirinya masih ‘hijau’ dalam bidang nyanyian, Meer berkata, itu tidak bererti dia tidak boleh mencetuskan ilham kepada orang lain.

Ujarnya, dia enggan ‘mencemarkan versi asal lagu berkenaan dan menyatakan tiada rakaman semula dilakukan untuk penambahbaikan.

“Saya selesa mengekalkan ‘aroma’ sentuhan asal. Saya rakam ketika itu hanya bertemankan gitar dan sekali ‘take’. Saya alunkan dengan gaya akustik yang sederhana dan secara ‘live’. Masa itu banyak melodi dan lirik yang belum pasti lagi. Memang nampak macam sedikit ‘huru hara’.

“Namun begitu, niat saya hanya nak rakam ‘demo’ tanpa meletakkan apa apa jangkaan pun. Ia ibarat apa yang kita dengar kali pertama, begitulah bunyinya. Ia boleh saya katakan juga lebih jujur, ‘raw’ dan ada sedikit ‘pitchy’. Kalau dengar versi saya lancarkan Jun lalu, semuanya nampak sempurna apabila ditambah baik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Meer yang baru-baru ini turut merakamkan lagu Seribu Tahun dendangan asal Imran Ajmain berkata, Saranghae bukanlah lagu pertama ciptaannya.

“Sebelum itu, saya sudah beberapa kali menulis lagu. Tapi saya masih rasa kekurangan dan belum cukup bagus. Tapi Saranghae bagai menyuntik semangat luar biasa hingga saya berani mengkomersialkannya.

“Pendek kata, perjalanan melengkapkan karya lagu itu sangat manis dan bermakna,” katanya yang pernah menyertai pertandingan I Can See Your Voice Malaysia tahun lalu.

Sementara itu, kata Meer lagi Saranghae bukan penamat kepada minat dan kesungguhannya mencipta lagu.

“Ikutkan saya sedang merencana single seterusnya yang masih belum berjudul. Baru 30 peratus siap. Kalau sesuai, mana tahu saya boleh minta Universal Music pertimbangkannya. Setakat ini ada empat lagu termasuk Saranghae yang saya cipta. Selebihnya, saya fikir lebih baik peram saja. Nak ‘jual’ dan ketengahkan pun tak yakin.

“Tapi saya tidak pernah melihat apa saja perkara sebagai penamat untuk terus berkarya. Selagi mampu berkongsi apa yang tersimpan dalam hati dan diluahkan ke dalam bentuk lagu, pasti saya lakukannya,” katanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button