EventHiburan

TAPAUfest Himpunkan Pembikin Karya Indie Dari Tiga Negara, Cipta Pengalaman Festival Secara Dalam Talian

Di sebalik dugaan dan cabaran yang terpaksa diharungi susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia hampir dua tahun lalu, semangat juang pengkarya seni masih utuh tersemat.

Akur terpaksa bergelut menyesuaikan diri dengan tuntutan norma baharu dalam rangka kerja, situasi itu mencetuskan kreativiti supaya berani berfikir dan bertindak di luar kotak demi meneruskan kelangsungan hidup.

Semangat jitu itu menjadi teras penganjuran TAPAUfest yang menawarkan pengalaman festival secara online dalam usaha menyemarakkan semula aktiviti seni yang pernah terhenti susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bakal berlangsung pada 30 Oktober ini, TAPAUfest menghimpunkan pembikin karya indie dari tiga negara serantau iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia dalam festival yang menyatukan komuniti untuk bersama menyahut bahawa #lifeislive.

Berlangsung selama 14 jam dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam (waktu tempatan), TAPAUfest membawa objektif mencipta pengalaman festival secara online dengan penerapan norma baharu, namun tetap menjunjung suasana sebenar festival.

Penganjuran TAPAUfest secara tidak langsung mengukuhkan lagi jalinan serantau dengan menyatukan pengkarya dan penyokong dalam senario indie dari tiga negara terbabit sebagai satu komuniti di bawah platform www.TAPAU.asia.

Pada masa sama, festival itu turut mencipta kerjasama dan menyediakan peluang kerja kepada komuniti kreatif serta indie yang sebelum ini terpaksa berhempas pulas meneruskan survival ketika pandemik.

Menurut wakil penganjur, TAPAUfest menyajikan tiga komponen utama iaitu PENTAS (persembahan muzik secara langsung), BENGKEL (peluang mempelajari perkara baharu secara langsung ketika bengkel sedang berlangsung) dan LAYAR (tayangan perdana produksi secara langsung).

“PENTAS menjanjikan pengalaman santai dan interaktif selama 14 jam dengan menampilkan himpunan pemuzik indie hebat dan sedang bertapak dari tiga negara.

“Ketika kebanyakan persembahan ‘live’ dalam talian menyajikan pengisian yang terlebih dahulu dirakamkan, TAPAUfest pula membawa audiens merasai pengalaman sebenar menonton aksi secara langsung pemuzik membuat persembahan dari venue yang ditetapkan di negara masing-masing.

“Kami membariskan himpunan pemuzik indie popular dan sedang bertapak dari Malaysia, Indonesia dan Singapura dengan mengetengahkan kepelbagaian genre muzik, termasuk wakil wanita dari setiap negara,” kata Faris yang merupakan Pengarah Konsert dan wakil TAPAUasia Sdn. Bhd.

Malaysia menampilkan dua nama besar yang terlebih dahulu mencipta populariti dalam senario muzik indie iaitu kugiran ska dari Johor, Plague of Happiness dan Zee Avi yang memegang rekod sebagai anak Malaysia pertama mempunyai album tersenarai dalam carta album US Billboard Hot 200 serta menduduki tangga carta Billboard Heatseekers.

Turut mewakili Malaysia ialah pemuzik underground kegemaran ramai, No Good yang baru melancarkan trek terbaharu mereka, “Kayaba” dan pemenang Anugerah Jeremy (Artis Indie Baharu Terbaik), TAPAUawards tahun lalu, Gard Wuzgut.

Tiket individu dijual pada harga RM30 untuk Kombo Asas, RM50 (Kombo Gerek), RM100 (Kombo Keren) dan RM150 (Kombo Sempoi), manakala tiket berkumpulan untuk empat orang pula dijual pada harga RM110 untuk Kombo Asas, RM180 (Kombo Gerek) dan RM360 (Kombo Keren) sehingga 29 Oktober 2021. Tiket individu dijual pada harga RM50 pada hari festival berlangsung. Semua tiket boleh dibeli terus di www.TAPAUfest.asia 

Sebagai informasi, TAPAUfest merupakan penerima Geran Pemulihan Industri Kreatif (GPIK) di bawah PENJANA dari MyCreative Ventures untuk acara digital. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button