EventHiburan

Teater Dang Anum (The Untold Story) Ketengahkan Fakta Sejarah Sebenar Kisah Dang Anum dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang

Persatuan Seni dan Budaya Redholah (The Redholah) mengambil langkah berani ketengahkan fakta sejarah yang tidak pernah diketahui melalui pementasan Teater Dang Anum (The Untold Story) tahun ini.

Pengarah, Amirul Haswendy Ashari, berkata selama ini masyarakat beranggapan kisah legenda rakyat, Dang Anum dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang adalah berkaitan kekejaman Sultan Mahmud, sultan terakhir dari susur galur kesultanan Melaka yang menduduki takhta sebagai sultan di Kerajaan Johor Lama.

“Mengikut kisah legenda rakyat, Sultan Mahmud menjatuhkan hukuman belah perut Dang Anum yang sedang sarat mengandung kerana bersalah mengambil seulas nangka kerana mengidam.

“Namun pada penggambaran dokumentasi khas di Kota Tinggi selepas pementasan Teater Dang Anum tahun 2023 lalu, kami mendapati kisah Dang Anum dibelah perut kerana seulas nangka adalah rekaan semata-mata,” katanya.

Menurut Amirul, antara fakta menarik yang ditemui adalah Sultan Mahmud, Dang Anum dan Laksamana Megat Seri Rama (Laksamana Bentan) menjadi mangsa fitnah kerana kuasa dan dendam.

Sisi ini didedahkan Persatuan Sejarah Malaysia di Kota Tinggi, Johor melalui sesi temuramah eksklusif yang kini boleh ditonton di Youtube rasmi The Redholah.

“Selama berpuluh tahun, kita dimomokkan dengan kekejaman Sultan Mahmud dan penderhakaan Laksamana Bentan melalui filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (1961) dan Dang Anom (1962), selain pelbagai rendisi pementasan dua kisah itu di pentas teater,” kata Amirul pada majlis sidang media yang diadakan di Hotel Park Inn by Radisson Putrajaya, hotel tumpuan terbaharu di Putrajaya.

Dalam pada itu, Amirul turut mendedahkan berdepan cabaran mendapatkan penajaan untuk Dang Anum (The Untold Story) kerana dana diterima dari Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) yang diterima agak terhad.

Apatah lagi, Dang Anum (The Untold Story) bakal dipentaskan di Melaka Bandaraya Bersejarah dan Johor Bahru pada Oktober dan November ini dengan harapan menarik lebih ramai peminat dan penonton dari luar Lembah Klang.

Pada masa sama, The Redholah akan menjalani penggambaran dokumentasi khas siri ke-dua untuk menyingkap kisah lanjut Laksamana Bentan dan Dang Anum yang dipercayai mempunyai pewaris keturunan di sekitar Kepulangan Riau dan Batam, Indonesia.

“Sejujurnya memang agak terkilan dengan jumlah dana diterima apatah lagi The Redholah baru menjengah tahun ke-dua penubuhan dan masih memerlukan sokongan dari semua pihak untuk melestarikan seni budaya tempatan.

“Tapi apakan daya, kami terpaksa menerima keputusan itu dengan berat hati, namun berharap usaha kami ini tidak disia-siakan pihak-pihak berkaitan,” kata Amirul.

Pun begitu, The Redholah amat berterima kasih kepada Hotel Park Inn by Radisson Putrajaya kerana sudi menaja lokasi sidang media hari ini.

Teater Dang Anum (The Untold Story) adalah projek pementasan teater melalui GSSK di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang bakal berlangsung pada 27 hingga 29 September 2024 bertempat di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.

Teater kali ini kembali menampilkan Along Eyzendy, Adam Shahz, Ain Sufia, AG Hafiz Hotfm, Affan Mohd, Md Husin, Karl Dannish dan ramai lagi, selain penampilan sulung Zalif Sidek di pentas teater.

Jualan tiket untuk menonton teater ini mula dibuka mulai 25 Ogos 2024 pada harga bermula RM25 hingga RM65. Untuk perkembangan lanjut mengenai aktiviti persatuan, sila ikuti laman sosial Instagram, Facebook dan Tiktok The Redholah atau menghubungi talian 014 368 5233 atau emel ke theredholah@gmail.com. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
2
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button