Cerita ArtisHiburan

Teruja Jadi Bapa, Hafidz Rajin Cuci Lampin Anak

Walaupun baharu sebulan bergelar bapa, pelakon Hafidz Roshdi mengatakan dia kini sudah tidak kekok menjaga anak sulungnya, Humairah.

Menurut pelakon berusia 23 tahun itu, dia sudah biasa melakukan kerja-kerja seperti mencuci lampin, membancuh susu dan memandikan Humairah sejak anaknya dilahirkan pada 9 September lalu.

“Saya dah biasa tak tidur malam sejak Humairah dilahirkan. Saya dah tak kekok cuci lampin, buat susu dan mandikan Humairah, tak seperti di awal kelahirannya dulu.

“Mula-mula sahaja kekok, tapi sekarang saya dah biasa dah,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com pada majlis sidang media Anugerah Skrin 2017 di Hotel J.W Marriot, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam majlis itu, drama lakonan Hafidz, Seharum Mawar tercalon dalam kategori Drama Rantaian Terbaik.

Sejak kelahirannya anaknya, Hafidz berkata rezekinya tidak putus-putus menerima tawaran lakonan yang menjadi profesion utamanya dalam bidang seni.

“Bila dah ada anak, saya perlu bekerja keras, Alhamdulillah tawaran lakonan tak berhenti-henti, cukup untuk saya menampung keluarga,” ujarnya.

Sementara itu, Hafidz turut mendedahkan dia kini sedang dalam usaha untuk mengurangkan berlakon babak intim dengan pelakon wanita.

Menurutnya, ia merupakan keputusannya sendiri yang tidak didorong oleh mana-mana pihak.

“Saya kini dalam usaha untuk mengurangkan adegan bersentuhan dengan pelakon wanita. Ini memang keputusan saya sendiri.

“Saya buat benda ini kerana ingin menghormati isteri, keluarga dan juga maruah keluarga saya,” katanya lagi.

Selain berlakon, Hafidz juga berkata dia tidak akan menolak sekiranya diberi tawaran mengacara seperti mana yang dilakukannya dalam sebuah program hiburan baru-baru ini.

Menurutnya, bidang pengacaraan juga merupakan minatnya dan tidak salah mencuba bidang seni yang lain bagi memantapkan lagi kerjayanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button