The Mirza Warisi Bakat Seni Daripada Datuk Di Indonesia
Kumpulan duo Malaysia yang semakin mendapat tempat di Indonesia, The Mirza mendedahkan mereka mewarisi bakat daripada datuk sebelah ibu yang merupakan warga negara Indonesia.
The Mirza yang dianggotai kembar seiras berusia 20 tahun, Norzafira Mirza Mohd Rafiq (Zaf Mirza) dan Norsyafira Mohd Rafiq (Syaf Mirza) berkata sejak kecil minat mereka meminati bidang muzik dan sekarang adalah masa yang sesuai untuk mereka melebarkan sayap dalam arena seni.
“Kami mula suka menyanyi sejak berusia 10 tahun dan pada 13 tahun, kami belajar sendiri bermain gitar dan ukelele dengan melihat video di laman Youtube dan dari situ kami terus suka cover lagu-lagu artis lain.
“Sebenarnya, datuk kami daripada sebelah ibu mempunyai band sendiri di Indonesia. Ibu kami berasal daripada Padang. Boleh dikatakan Indonesia tidak asing pada kami. Malah abang kami pun ada band dia sendiri,” kata Zaf kepada KopiPlanet.com
The Mirza ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu, Lelah Mengalah yang berlangsung di Suka Sucre, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Duo kembar ini terlebih dahulu mencipta nama di Indonesia selepas dilamar syarikat 18 Musik Indonesia pada dua tahun lalu.
Membawakan genre lagu pop r&b, Lelah Mengalah merupakan single ketiga The Mirza selepas Telah Berubah dan Jatuh-Jatuh Cinta.
“Kami mencuba nasib di Indonesia terlebih dahulu kerana orang di sana lebih menggemari genre pop r&b yang cuba diketengahkan kami. Selain itu, kami juga terharu apabila dapat bekerjasama dengan ramai komposer popular di sana yang antaranya pernah menciptakan lagu untuk Afgan dan Judika.
“Kami lancarkan lagu Lelah Mengalah di Malaysia sebab tak sangka lagu itu mendapat sambutan di sini. Pada mulanya, pihak pengurusan berasakan adalah lebih baik kami lancarkan single kedua, Jatuh-Jatuh Cinta terlebih dahulu tapi memandangkan Lelah Mengalah dah menawan hati peminat di sini, jadi kami lancarkan dulu lagu tersebut,” ujar Syaf pula.
Sejak muzik video Lelah Mengalah dimuat naik tiga bulan lalu sudah pun mencatat jumlah 3.5 juta tontonan daripada peminat mereka di Malaysia dan Indonesia. – KopiPlanet.com