
“Tiada Rezeki Di Sini, Tapi Saya Dapat Jalan-Jalan Di Mesir”- Abam
Mengakui berasa sedikit kecewa tidak dapat melangkah ke pertandingan akhir Bintang Bersama Bintang, namun Abam tetap berlapang dada dengan keputusan penyingkirannya itu.
Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Bin Syed Mohd Redzuan, 30, tersingkir semalam selepas dia tidak pernah meraih gelaran juara mingguan selama enam minggu program itu bersiaran.
“Tipulah kalau saya kata tak kecewa. Tapi penyingkiran ini ada hikmahnya, walaupun saya terkeluar minggu ini tapi minggu ini juga saya dapat pergi berjalan-jalan di Mesir. Jalan-jalan sambil buat kerja sebenarnya.
“Saya akan ke Mesir hari ini sehingga Sabtu ini bersama isteri bagi menjalani penggambaran sebuah program terbitan stesen televisyen swasta. Kiranya jalan-jalan sambil berbulan madu sekali,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam semalam.
Menurut Abam lagi sekiranya namanya terpilih melangkah ke peringkat akhir, ia pastinya menjadi satu masalah buatnya untuk menjalani latihan bersama artis undangan memandangkan dia perlu berada di Mesir sehingga Sabtu ini.
“Saya bukan buat-buat kalah supaya dapat pergi ke Mesir. Sebenarnya kerja di Mesir ini memang saya dah lama lock. Kalaupun saya melangkah ke final, mungkin saya akan buat tetap bertungkus lumus buat persiapan akhir pada Sabtu sebaik sahaja saya selamat mendarat.
“Apa-apa pun saya redha rezeki saya sampai minggu separuh akhir saja,” kata Abam yang meramalkan Achey bakal memenangi pertandingan itu memandangkan rakan baiknya itu sudah dua kali memenangi juara mingguan.
Pada peringkat separuh akhir itu, Abam bergandingan dengan Syanie bagi mempersembahkan sketsa lawak dan nyanyian.
Pertandingan akhir Bintang Bersama Bintang akan diadakan pada 4 Mac ini di Plaza Alam Sentral dan disiarkan secara langsung di TV3, jam 10 malam.
Lima finalis yang bakal berentap bagi membawa pulang wang tunai RM100,000 ialah Achey, Issey, Syuk, Ajak dan Mark Adam. Bintang Bersama Bintang dihoskan AG Azmeer. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Abam