
Tiga Tahun Menyepi, Kini Nubhan Kembali Dalam Industri Seni
Hampir tiga tahun menyepi daripada bidang seni suara, akhirnya Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, 33, kini kembali dengan buah tangan baru berjudul Selamat Jalan Cinta buat peminatnya.
Nubhan mengakui bahawa sepanjang tempoh itu, dia merindui kariernya sebagai penyanyi namun perlu memberikan sepenuh tumpuan terhadap perniagaan kosmetik yang dijalankannya.
“Sejujurnya saya sangat merindui momen-momen menjadi seorang penghibur suatu ketika dahulu kerana minat itu sudah bermula sejak saya kecil lagi. Sebenarnya isteri dan ibu yang bersungguh-sungguh mahu melihat saya kembali bergiat aktif dalam bidang nyanyian.
“Jadi apa salahnya saya membanggakan hati mereka dengan membuat kemunculan semula selepas sokongan serta kepercayaan yang mereke berikan buat saya, ” kata Nubhan kepada KopiPlanet.com.
Nubhan ditemui pada majlis pelancaran single dan MTV Selamat Jalan Cinta di Neway Karaoke, Damansara semalam.
Sebelum ini, Nubhan pernah ditawarkan sebanyak 14 buah lagu daripada beberapa orang komposer dalam merancakkan kembali industri muzik.
Dalam pada itu, pemilik syarikat kosmetik Juwita Divine itu turut mengatakan bahawa dirinya cukup menitik beratkan melodi yang bersesuaian serta dapat sampai dengan jiwanya.
“Pemilihan lagu ini dilakukan atas sebab-sebab tertentu dari segi lirik lagu yang membolehkan saya dapat menyanyi melalui jiwa yang sebenar.
“Oleh itu, saya perlu berhati-hati dalam membuat keputusan yang tepat malah dalam masa yang sama saya perlu menyukai lagu tersebut.
“Jadi penghujungnya jika saya mahukan pendengar itu setia dengan saya, ianya pasti bermula dari saya sendiri untuk mendengar terlebih dahulu sebelum rakaman dibuat,” ujarnya. – Kopiplanet.com
Artikel : Syafiqah Othman dan Nur Fatin Marzuki
Pelajar praktikal : UiTM Puncak Perdana