Tomok Maafkan Peminat Pernah Baling Telur Kepada Newboyz
Seorang peminat telah membuat pengakuan secara eksklusif dengan mengatakan dia dan rakan-rakannya pernah membaling telur ke arah kumpulan Newboyz.
Menerusi perkongsian Tomok di Instagramnya, lelaki yang dikenali sebagai Kamarul Ariffin Nor Sadan itu melakukan perbuatan tersebut bersama rakan-rakannya ketika Newboyz membuat persembahan di Kota Tinggi sekitar tahun 1999-2002.
“OK, aku ada pengakuan nak buat pada Tomok dan Newboyz. Sekitar tahun 1999-2002 (tak berapa ingat), Newboyz ada buat persembahan di Plaza Kota Tinggi. Aku dan beberapa orang rakan telah melakukan onar dengan niat sabotaj. Kami baling telur.
“Sejujurnya, aku pun tidak ada justifikasi yang kukuh untuk sabotaj kalian. Ia lebih kepada tindakan mengikut jiwa muda yang gemar memberontak, mungkin juga kerana dicabar,” jelasnya.
Menurutnya, secara senyap-senyap dia telah melayan lagu-lagu Newboyz dan mengakui ketika lagu-lagu kumpulan berkenaan berkemundang di radio Era, dia menyanyi dalam hati serta menghafal lirik lagu mereka.
“Maka, bersaksikan 200,000 followers aku ni, aku dengan rasa rendah diri dan ikhlas, aku nak mohon maaf pada kalian. Aku tahu 20 tahun tu lama, lebih baik lambat daripada tidak langsung.
“Kalau ada konsert reunion, boleh jemput saya. Pada waktu itu, saya akan relakan diri dibaling telur oleh setiap anggota Newboyz,” jelasnya.
Dalam pada itu, Tomok yang membuat naik kenyataan berkenaan menyatakan dia sudah memaafkan perbuatan yang dilakukan oleh lelaki berkenaan.
“Buang yang keruh… ambik yang jernih… kita hanya manusia biasa tak lari dari buat kesilapan. Saya maafkan awak bro!” ujar Tomok. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Tomok