Cerita ArtisHiburan

Tulus Bersyukur Karyanya Dapat Diterima Peminat Di Malaysia

Penyanyi Indonesia, Tulus meluahkan rasa syukur dan tidak menyangka bahawa lagu-lagunya diterima baik pendengar di negara ini.

Melancarkan album ketiga Monokrom di Bait Intermark, Kuala Lumpur semalam, Tulus, 31, berkata dia begitu gembira dengan sambutan yang diterima.

“Saya tak sangka lagu-lagu yang dinyanyikan diterima baik kerana apabila saya mencipta sesebuah lagu, memang saya tidak meletakkan apa-apa jangkaan.

“Saya berkarya untuk mensyukuri segala kebolehan yang dikurniakan seperti mencipta melodi, menulis lirik dan menyanyi. Itu sahaja niat saya memasuki bidang ini. Kalau diterima baik, saya memang sangat-sangat bersyukur,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Monokrom merupakan album ketiga penyanyi kelahiran Bukit Tinggi, Sumatera Barat ini. Tulus pernah mengeluarkan dua album terdahulu iaitu Tulus (2011) dan Gajah (2014).

Bagi menghargai sokongan yang diterima daripada peminat Malaysia, Tulus buat julung kalinya bakal mengadakan konsert di Istana Budaya pada 18 September ini.

“Saya cuba persiapkan fizikal dan mental untuk konsert akan datang serta akan berikan yang terbaik. Muzik bukan tentang berapa jumlah peminat, tetapi energi yang diberikan oleh penyanyi.

“Selama ini saya sering berkomunikasi dengan peminat di Malaysia menerusi alam maya. Internet memang banyak membantu menyebar luaskan karya saya,” katanya.

Konsert Tulus dibawakan khas oleh Shiraz Music Sdn Bhd. dan segala maklumat lanjut mengenai konsert ini akan diumumkan kemudian. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button