
Tiga artis terkenal tanah air iaitu Farah Nabilah, Kilafairy dan Tya Arifin yang kini turut bergiat aktif dalam dunia perniagaan menyertai siri jelajah Celebpreneur 2019 yang akan bermula 1 Mac ini di Holiday Villa, Johor.
Semasa siri jelasah tersebut, ketiga-tiganya akan berkongsi perjalanan dan pengalaman memiliki produk jenama sendiri, sekali gus menggalakkan orang ramai serta peminat untuk menjana pendapatan sampingan dengan bergelar stokis dan agen.
Tiga produk yang dimaksudkan ialah jamu Mutyarabeauty dihasilkan Tya, produk penurunan berat badan dan kecantikan kulit Kilafit (Kilafairy) dan cecair kolagen Fawaabeauty (Farah Nabilah) yang dihasilkan di bawah naungan A Klasse Essentials Sdn. Bhd. milik Asyraf Khalid yang ditubuhkan sejak hampir dua tahun lalu.
“Siri jelajah Celebpreneur 2019 ini dirancang di beberapa lokasi di seluruh negara. Selepas Johor, jelajah ini akan diteruskan di Pulau Pinang (8 Mac), Sabah (16 Mac) dan Sarawak (17 Mac). Selain itu, ada beberapa lokasi lagi akan menyusul selepas itu dan penyertaan serta kemasukan adalah percuma.
“Program ini dirancang dari jam 3 petang hingga ke malam. Selain tiga produk ini, A Klasse Essential turut menghasilkan vitamin minda untuk kanak-kanak, Jiwakukids by Arif Jiwa dan kosmetik Madame Izara (Izara Aishah). Bagaimanapun, untuk jelajah ini hanya Mutyarabeauty, Fawaabeauty dan Kilafit saja terbabit.
“Kita harap jelajah ini dapat buka peluang kepada golongan wanita khususnya bagi menjana pendapatan sampingan dengan menjadi agen mahupun stokis. Tya, Farah dan Kilafairy akan diberi masa selama sejam untuk berkongsi cerita dan perniagaan mereka. Saya pula akan menutup siri perkongsian ini dalam setiap siri jelajah yang dijadualkan,” ujar Asyraf.
Tambah Asyraf, mereka yang mahu menjadi agen dan stokis boleh mendaftar terus di siri jelajah ini. Malah, acara beramah mesra juga akan diadakan selain membuka ruang untuk mereka yang mahu daftar terus jadi agen dan stokis.
Sementara itu, Tya yang juga isteri kepada Asyraf berharap ruang jelajah ini dapat menjadi medan terbaik bagi berkongsi pengalamannya yang sudah mengkomersialkan jamu jenamanya sejak hampir setahun lalu.
“Kebiasaan dan selalunya ada stigma yang melihat jamu itu hanya untuk dinikmati orang tua sahaja. Tidak kurang juga yang melihat jamu hanya amalan bagi wanita selepas bersalin. Sedangkan khasiat semula jadinya itu bagus untuk semua wanita. Jika kita sendiri sebagai golongan wanita yang tidak menghargai semua itu, siapa lagi yang akan melakukannya.
“Saya sendiri menjadi pengamal jamu tegar. Saya lihat potensi jamu ini wajar dikomersialkan apatah lagi ia hasil resipi turun-temurun daripada keluarga. Saya tidak mahu khasiat jamu itu dibiarkan begitu sahaja, sebaliknya ingin berkongsi dengan seluruh wanita di luar sana yang percaya betapa peri pentingnya amalan ini.
Menurutnya, dia berharap agar kehadiran Mutyara Beauty ini dapat mengubah pandangan skeptikal tersebut dan diperluaskan lagi penggunaannya untuk semua wanita.
Jelasnya, Mutyara Beauty khususnya boleh diminum oleh perempuan di usia 16 tahun, mereka yang belum berkahwin hingga seterusnya serta mahu lihat ia menjadi keperluan wajib untuk ibu muda sepertinya serta menghargai diri dan orang tersayang dengan penjagaan dalaman diri.
“Sudah tentu saya berharap agar jelajah ini dapat jadi platform berkongsi peluang dan interaksi, sekali gus dapat menggalakkan golongan wanita membuat duit sampingan.
“Saya akan kongsi pengalaman sebelum jual jamu ini secara komersial dan bagaimana perjalanannya hingga kini,” kata Tya yang akan muncul dengan program realiti sendiri, In Love With Tya bermula hari ini (Isnin) di Astro Naura jam 9 malam.
Untuk keterangan lanjut mengenai acara ini boleh ke Instagram @celebpreneur2019 atau hubungi talian 019-9093170. KopiPlanet.com