
Ungku Ismail Elak Buat Kapsyen Seolah Bercinta Luar Drama
Kebiasaannya mana-mana aktor yang digandingkan dengan pelakon Mira Filzah pastinya akan terpalit dengan kontorversi mengatakan mereka bercinta di luar drama.
Namun hal ini berlainan dengan Ungku Ismail Aziz, 35, apabila dirinya langsung tidak dikaitkan dengan perkara itu seperti mana yang pernah melanda Mira dengan hero-hero gandingannya terdahulu iaitu Remy Ishak dan Ben Amir.
Ungku Ismail berkata, dia rasa perkara itu ada kaitannya dengan bagaimana cara promosi yang dibuat seseorang selebriti itu di media sosial sehingga membuatkan peminat merasakan mereka seperti benar-benar bercinta di alam realiti.
“Mungkin saya tidak dikaitkan dengan Mira kerana saya jenis tidak suka posting promosi untuk sesebuah drama dengan menggunakan kapsyen yang seolah-olah menggambarkan saya dan heroin bercinta di luar drama. Saya rasa perkara itu menjadi antara sebab yang membuatkan netizen suka buat ‘relationship goals’ sekiranya kita buat perkara-perkara sebegitu.
“Saya tidak nafikan ada segelintir netizen yang harapkan saya dengan Mira jadi pasangan kekasih betul-betul di luar drama, meskipun Mira dah beritahu dia kini sedang berkawan dengan seseorang. Kadang-kadang tak faham juga saya dengan netizen ini,” katanya.
Dia berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media teater Semarak PertiwiKu yang diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur semalam.
Ungku Ismail bergandingan dengan Mira menerusi drama Adellea Sofea yang kini sedang bersiaran di TV3 pada setiap Isnin hingga Jumaat jam 7 malam.
Mengakui masih solo, Ungku Ismail turut menjelaskan jika diberi pilihan dia mendambakan seorang wanita yang bukan daripada bidang seni kerana mengakui dirinya seorang yang sangat berahsia jika melibatkan hal-hal peribadi.
“Saya sebenarnya jenis tidak berkawan sangat dengan artis sebab saya ada kawan-kawan saya sendiri yang di luar bidang seni. Kalau boleh saya nak ditemukan jodoh di kalangan bukan selebriti sebab saya jenis seorang yang sangat berahsia tentang kehidupan peribadi.
“Kalau saya bercinta dengan artis sudah tentu nak tak nak saya kena beritahu juga kepada pihak media dan orang luar. Bila sampai jodoh saya nanti, saya akan beritahu kepada semua,” jelasnya.
Mengenai ciri-ciri wanita idamannya, Ungku Ismail memberitahu bahawa wanita tersebut mestilah seorang yang sangat memahami karier seninya dan jenis yang tidak suka buat provokasi remeh terhadap dirinya.
“Saya jenis yang dominan dalam perhubungan dan kalau boleh dia kena terima yang saya tidak akan dedahkan diri mereka kepada pihak umum dan saya rasa ada sahaja wanita yang tidak kisah dan suka dengan prinsip saya ini,” katanya.
Sementara itu, teater Semarak PerwitiKu yang diarahkan Azri Ali akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 30 dan 31 Januari ini. Masuk adalah percuma.
Pementasan yang dibawakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bertujuan mendidik masyarakat mengenai gejala rasuah yang semakin membimbangkan.
Selain Ungku Ismail, naskhah ini turut dibintangi Sherie Merlis, Anding Indrawani, Taufiq Hanafi, Chopie dan Shakimin. – KopiPlanet.com