Cerita ArtisHiburan

Unknown Muncul Dengan Single Jangan Marah (Baby Sayang), Mahu Kembalikan Era Kegemilangan Boy Band

Ketika ini, boleh dikatakan tidak banyak boy band yang muncul seperti era 90-an dahulu.

Bagi menghidupkan kembali era kegemilangan boy band tempatan yang kini semakin pudar daripada memori generasi masa sekarang, Ace Talents dengan berbesar hatinya memperkenalkan Unknown. 

Ia sebuah kumpulan yang terdiri daripada lima remaja berbakat berusia belasan tahun yang lengkap dengan warna dan personaliti tersendiri.

Kelima-lima remaja yang menganggotai Unknown termasuklah Muhammad Shazrul Affandy (Momo), 19, Adam Hafidh (MaryHaf), 19, Izmeer Ibrahim (Izmeer), 18, dan Ameer Nor Azam (Ameer), 18, dan Awangku Zaq Amirul (Zaq), 17.

Yang terbaharu, Unknown kini muncul dengan ‘buah tangan’ sulung mereka yang berjudul Jangan Marah (Baby Sayang).

Biarpun kewujudan Unknown dilihat masih ‘mentah’ dalam arena muzik tempatan, namun ia tidak bermaksud mereka tidak serba boleh.

Menariknya, bakat besar yang dimiliki mereka jelas terserlah menerusi kemahiran nyanyian dan tarian yang dilihat ramai dalam single pertama mereka itu.

Lebih istimewa lagi, single terbabit juga menerima sentuhan daripada salah seorang anggota Unknown iaitu Momo yang terlibat dalam proses penulisannya di bawah bimbingan Azan Addin yang merupakan sebahagian daripada tulang belakang Ruffedge.

Pengarah Urusan Ace Talents, Azuien Alonto berkata, pihaknya teruja dan yakin bahawa Unknown mampu mencetuskanf enomena selain bersaing dengan bakat-bakat lain dalam industri muzik tempatan.

“Secara peribadinya, saya memilih setiap ahli Unknown kerana potensi dan bakat besar yang dimiliki mereka tidak dapat disangkal lagi, selain berusaha untuk menjadikan mereka pelapis baru dalam arena muzik Malaysia.

“Dengan adanya kolaborasi Ace Talents bersama Universal Music Malaysia sebagai pengedar, saya juga berharap agar Unknown dapat pergi lebih jauh ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Menceritakan perjalanan Unknown sebagai sebuah kumpulan Azuien berkata, ia bermula apabila kelima-lima anggota kumpulan terbabit hadir ke sesi uji bakat yang dianjurkan oleh Ace Talents secara individu.

Ujarnya, melihat potensi besar yang dimiliki dalam diri masing-masing, Ace kemudiannya berkeputusan menggabungkan kesemua ahli tersebut yang pada awalnya berjaya disenarai pendek menjadi sebuah kumpulan, bertujuan untuk menguatkan lagi kekuatan masing-masing. 

“Sejak itu, Unknown mula menjalani pelbagai latihan vokal dan tarian bawah bimbingan tenaga pengajar Ace,” jelasnya.

Single pertama Unknown itu kini boleh  didengarkan di YouTube Ace  Talents mulai 28 Mei lalu dan di semua pelantar digital muzik seperti Spotify, JOOX, Apple Music dan lain- lain bermula Jun ini. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
7
+1
22
+1
0
+1
5
+1
5
+1
0
+1
4

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button