Cerita ArtisHiburan

Untuk Tampil Bertenaga & Persiapan Kerohanian, Lah Ahmad Amalkan Puasa Sunat Dua Kali Seminggu Menjelang Konsert

Penyanyi popular Lah Ahmad memaklumkan dia akan mengamalkan puasa sunat dua kali seminggu iaitu pada hari Isnin dan Khamis, sebulan sebelum konsert solo keduanya, Lah Ahmad Jatuh Cinta Live At Istana Budaya.

Lah berkata, amalan tersebut dilakukan sejak konsert solonya yang pertama, Lah Ahmad 25 Years Live In Concert yang berlangsung pada Januari lalu.

“Saya akan berpuasa sunat menjelang konsert dengan mengawal pemakanan dan persiapan dari sudut spiritual. Untuk menyanyikan 20 buah lagu, pastinya memerlukan tenaga yang mencukupi serta mental yang kuat.

“Amalan ini pun tak ada sesiapa yang sarankan, cuma apabila saya lakukan ternyata ia memang memberi kesan yang baik kepada diri saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai persiapannya menjelang konsert berkenaan yang akan berlangsung pada 7 Oktober ini, Lah memberitahu semuanya berjalan seperti yang dirancang.

Bagaimanapun, dia turut mengakui agak sedikit tertekan memandangkan jadualnya yang padat kerana pada masa sama turut terbabit dalam penggambaran drama One Million Dollar Voice.

“Kalau ditanya tentang perasaan, pastinya memang agak gementar memandangkan konsert ini dilakukan di lokasi yang lebih besar.

“Apapun saya tetap teruja dan konsert ini pasti ada kelainan berbanding konsert pertama. Selain ada beberapa kejutan, untuk konsert ini saya turut bekerjasama dengan pemuzik dari Orkestra Simfoni Universiti Malaya,” ujarnya.

Mengenai penjualan tiket pula, penyanyi memaklumkan setakat ini sudah terjual sebanyak 70 peratus dan percaya konsertnya itu akan mendapat sambutan hangat seperti konsert sebelumnya.

Tiket-tiket untuk menyaksikan konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta at Istana Budaya telah mula dijual sejak 25 Ogos lalu dan boleh dibeli secara atas talian dengan melayari ilassotickets.com. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button