Cerita ArtisHiburan

Usop Luah Rasa Kesal Segelintir Penggiat Muzik Tempatan Angkat Influencer Tidak Berbakat

Penyanyi popular Usop meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan segelintir penggiat muzik tempatan yang gemar mengangkat individu berstatus ‘influencer’ untuk bertapak dalam industri meskipun tidak mempunyai bakat.

Usop berkata, sepatutnya penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi uji bakat program realiti harus diutamakan kerana sudah melalui proses tapisan daripada juri profesional.

“Sekarang ini artis perlu bersaing dengan ‘TikTokers’ atau pempengaruh media sosial, tidak seperti saya dahulu bermula daripada program realiti dan memang sangat sukar untuk menjadi penyanyi.

“Kini, saya lihat senang sahaja seseorang itu dikenali atau diangkat sebagai artis, termasuk influencer. Melihat keadaan ini, saya rasa macam senang betul hendak menjadi artis. Ia tak sama dengan situasi saya yang perlu menjalani uji bakat.

“Saya datang uji bakat seawal jam 6 pagi dan selesai pada jam 2 pagi keesokannya dan rasanya memang penat. Tetapi, kita boleh lihat dari segi perbezaan kualiti artis daripada program realiti dengan artis media sosial.

Usop atau nama sebenar, Muhamad Saiful Naim Mohd Noor berkata, keadaan sebegini membuatkan dia berkecil hati kerana seolah-olah hasil usaha bergelar penyanyi tidak dipandang.

Namun begitu, dia menyatakan tidaklah berasa tergugat dengan kehadiran influencer ini, tetapi lebih kepada rasa tidak adil. 

“Cuma saya tertanya-tanya kenapa industri hiburan di negara ini jadi sebegini dan kadang-kadang ada yang keluarkan lagu merepek-repek dan entah apa-apa.

“Jika dahulu penyanyi bersusah-payah keluarkan lagu yang baik, tetapi sekarang lagu merepek itu yang senang naik, malah dijemput pula ke program TV atau radio,” katanya.

Usop berkata, dia juga menolak sekiranya ditawarkan untuk berduet dengan mana-mana influencer.

Dalam pada itu, mengenai projek terbaharunya, Usop berkata dia bakal muncul dengan filem terbaharunya, Mat Kola arahan Hafiz Nafiah.

Menerusi filem genre komedi itu, ia turut membariskan barisan pelakon lain seperti Azman Ahmad, Taiyuddin Bakar, Ropie, Rozita Che Wan, Putri Hanan dan ramai lagi.

Filem komedi terbitan AA Success Pictures Sdn Bhd itu sepenuhnya menggunakan loghat Kedah dan akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 21 September ini. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button