Usop Tampil Lebih Mencuit Hati Dengan Single Pencinta Setiamu
Selepas meraih kejayaan menerusi dua single terdahulu iaitu Selamanya dan Aku Yang Bersalah, naib juara rancangan Mentor Milenia 2017, Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor atau lebih dikenali dengan panggilan Usop, 21, kembali mengegarkan industri muzik tanah air dengan single terbaharu berjudul Pencinta Setiamu.
Lagu tersebut merupakan ciptaan komposer Aepul Roza, Argo, Sharul Kamal dan Daus SRK yang mana lari daripada kebiasaan lagu-lagu balada yang pernah dinyanyikan Usop sebelum ini.
Peserta rancangan Big Stage 2020 yang cukup terkenal dengan karakter lucunya itu berkata lagu Pencipta Setiamu menceritakan tentang seorang jejaka yang merasakan dirinya yang paling tampan di kampungnya.
“Dengan berbekalkan kemewahan dan senyuman yang menawan, dia berjaya menggoda beberapa gadis di kampungnya walaupun sudah mempunyai beberapa teman wanita lain.
“Saya anggap lagu ini fun dengan sedikit elemen yang gila-gila dan mempunyai unsur jenaka yang amat diperlukan tatkala kita berada di dalam fasa PKP yang getir. Adakalanya kita perlu berhibur untuk menceriakan suasana,” kata Usop.
Mengulas lanjut tentang single ini, Usop menerangkan, “Idea untuk lagu ini sebenarnya dicetuskan oleh Ketua Label Rocketfuel Entertainment, Feros Sayna yang merasakan saya perlu keluar dari zon selesa dan menonjolkan karakter sebenar saya yang lebih kelakar dan mencuit hati.
“Maka terhasillah Pencinta Setiamu dengan genre ska yang rancak bagi membangkitkan mood happy buat sesiapa yang mendengarnya,” katanya lagi.
Pencinta Setiamu kini boleh dimuat turun di iTunes, Raku, Spotify, Joox dan Apple Music. Manakala muzik video lagu ini juga boleh ditonton menerusi saluran YouTube Rocketfuel Entertainment. – KopiPlanet.com