Cerita ArtisHiburan

We Are One Gabungkan Seramai 15 Penyanyi, Membangkitkan Semangat Rakyat Memerangi Pandemik Covid-19

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64, syarikat produksi Kumpulan Multimedia menerbit lagu berjudul We Are One yang juga dihasilkan bagi membangkitkan semangat rakyat Malaysia memerangi penularan pandemik Covid-19. 

Istimewanya, lagu ciptaan pengarah dan penulis lagu terkenal Teng Bee ini dinyanyikan seramai 15 artis berbilang kaum seperti Iman Troye, Jack Lim, Han Xiiao Aii, Ariff Bahran, Priscilla Abby, Yise Loo, Firdhaus, Juztin Lan, Layla Sania, Pauline Tan, Henley Hii, Jie Ying, Daphne Low, Ztish El Nino dan Nadia Pang. 

Pengarah Urusan Kumpulan Multimedia, Datuk Steven Lim Boon Siong berkata, lagu We Are One inspirasi daripada program tanggung jawab sosial korporat syarikat terbabit menyampaikan bantuan makanan dan keperluan harian kepada kru industri kreatif yang terjejas akibat Covid-19.

“Bukan mudah untuk menentang pandemik seorang diri. Hanya dengan bersatu padu barulah kita dapat mengharungi tempoh sukar ini.  

“Lagu We Are One menyampaikan mesej agar semua lapisan masyarakat berganding bahu, bersikap berani dan positif berdepan cabaran pandemik,” katanya. 

Menurut Lim, lagu ini tersedia untuk semua media dan saluran televisyen untuk dikongsi dan disiarkan, manakala We Are One sebagai pembakar semangat kepada orang ramai supaya tidak berputus asa terhadap cabaran dihadapi.

Sementara itu, Teng Bee berkata keadaan industri perfileman dan televisyen yang terjejas teruk akibat pandemik membuatkan dia terus bersetuju untuk mencipta We Are One ketika dilamar Multimedia untuk menghasilkan lagu berkaitan pandemik.   

“Ketika menjadi sukarelawan program prihatin Multimedia untuk membantu rakan seperjuangan terjejas, saya melihat sendiri kesusahan dan kesedihan yang mereka terpaksa lalui.

“Situasi itu menjadi inspirasi mencipta We Are One untuk memberitahu orang ramai bahawa semangat perpaduan adalah kekuatan,” katanya.

Jelasnya, We Are One yang dinyanyikan dalam tiga bahasa berjaya mendapat sokongan daripada 15 artis berbilang bangsa dan ini menunjukkan semangat perpaduan semua kaum. Ini juga menandakan usaha rakyat dalam memerangi pandemik. 

“Sebenarnya, pandemik ini dapat memberi inspirasi kepada penggiat seni untuk mencipta karya. Diharapkan mereka dapat menggunakan bakat menghasilkan karya bagi menaikkan semangat petugas barisan hadapan, masyarakat dan mereka yang terjejas akibat pandemik. Ini satu positiviti yang bagus untuk menentang pandemik,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button