Cerita ArtisHiburan

Yuna Tiada Niat Sorok Kahwin, Cuma Mahukan Privasi

Penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna mendedahkan bukan niatnya untuk merahsiakan majlis perkahwinan yang berlangsung semalam daripada pengetahuan peminat dan para media.

Sebaliknya, Yuna berkata dia hanya ingin mengadakan satu majlis perkahwinan dalam suasana intim yang dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat sahaja.

“Seperti yang semua tahu, saya seorang yang agak private mengenai kehidupan peribadi. Bukan niat untuk merahsiakan majlis pernikahan sebaliknya saya mahu ia diadakan dalam keadaan yang cukup intimasi.

“Buat pertama kali, hari ini saya adakan majlis sidang media untuk memperkenalkan suami kepada semua pihak media,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Yuna selamat diijabkabulkan dengan pengarah video, Adam Yousof Mohamed Sinclair tepat jam 6.45 petang semalam di Puncak Rimba, Bentong, Pahang, semalam.

Majlis itu dihadiri seramai 300 ahli keluarga dan kenalan rapat pasangan itu dari Malaysia dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Yuna menyifatkan sikap penyayang dan mengambil berat suaminya antara tarikan utama yang menyebabkannya jatuh hati pada jejaka tersebut.

“Antara salah satu sebab yang membuatkan saya jatuh hati pada Adam ialah kerana dia merupakan seorang yang penyayang dan seorang jejaka yang mempunyai budi pekerti baik.

“Sejak berhubungan rapat, memandangkan kami duduk jauh antara satu sama lain, Skype dan Whatsapp Call menjadi alat penghubung kami,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangan untuk berbulan madu, penyanyi layu Terukir Di Bintang itu berkata dia masih belum membuat sebarang perancangan mengenai perkara itu.

“Kami masih belum tahu nak berbulan madu di mana tapi kami mungkin akan ke Eropah atau negara di Amerika Selatan. Mengenai cahaya mata, kami tidak merancang dan menyerahkannya kepada rezeki,” kata penyanyi berusia 32 tahun ini.

Yuna turut menjelaskan selepas ini dia akan terus menetap di Los Angeles memandangkan kariernya semakin berkembang di sana.

“Saya sudah lapan tahun menetap di sana dan selepas ini mungkin Adam akan mengikut saya ke sana. Saya pun tidak mahu berjauhan dengan suami,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Yuna berkata dia akan kembali sibuk berikutan album terbaharunya akan dikeluarkan bulan Jun ini.

Yuna dan Adam berkenalan awal tahun 2013 dan mereka menjadi rapat dua tahun selepas itu sebelum mengikat tali pertunangan pada 5 Ogos tahun lalu.

Adam yang merupakan adik kepada pelakon Ashraff Sinclair pula mendedahkan sikap baik hati Yuna antara perkara yang membuatkannya ‘cair’ dengan bintang antarabangsa itu.

Mengahwini bintang terkenal, Adam berkata dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan perhatian media diberikan terhadapnya.

“Saya tidak terkejut dengan perhatian diberikan pihak media sebab ahli keluarga saya pun ada yang dikenali, jadi ia tidak menjadi satu masalah buat saya,” katanya.

Pasangan ini akan mengadakan satu lagi majlis resepsi di PICC bagi meraikan sanak saudara dan kenalan mereka pada esok hari. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button